Press "Enter" to skip to content

Tatacara Untuk Disinfeksi Rumah Untuk Pembersihan COVID-19

Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Negara kita masih belum bebas sepenuhnya daripada serangan virus yang menyebabkan Covid-19.

Walaupun tidak lama lagi kerajaan bakal mengumumkan pembukaan sepenuhnya operasi perindustrian dan lain-lain sektor ekonomi serta pendidikan, itu tidak bermakna kita sebagai rakyat boleh bersosial tanpa mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

Setiap arahan penjagaan kesihatan dan keselamatan masih perlu dilaksanakan agar penularan wabak Covid-19 dapat dihalang.

Selain daripada mematuhi amalan penjagaan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup hidung dan mulut apabila keluar ke tempat awam dan menjaga penjarakan fizikal sesama kita, aktiviti nyahkuman atau disinfeksi di tempat kediaman juga elok dilakukan.

tatacara disinfeksi rumah

Aktiviti disinfeksi ini bertujuan untuk memastikan persekitaran tempat tinggal (terutamanya di dalam rumah) bebas daripada keberadaan virus corona yang menjadi punca jangkitan penyakit Covid-19 berlaku.

Semua orang boleh melakukan disinfeksi di kediaman masing-masing, termasuk di premis pekerjaan juga.

Kita boleh memilih untuk melakukannya sendiri atau membayar upah kepada syarikat pembersihan yang menawarkan khidmat disinfeksi dari rumah ke rumah.

Bagi yang memilih melakukannya sendiri, terdapat beberapa tatacara penyediaan dan perlaksanaan disinfeksi yang betul sebagaimana disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tatacara Disinfeksi Rumah dan Kediaman

1. Sebelum melakukan kerja-kerja pembasmian kuman, pakai pakaian yang sesuai. Guna alat pelindung diri seperti apron plastik, pelitup mulut dan hidung, sarung tangan getah dan kasut getah. Buka semua tingkap agar udara dapat mengalir dengan baik.

2. Kerja disinfeksi dimulakan dari bahagian rumah paling dalam sehingga ke pintu luar. Contohnya, mula dari dalam bilik membawa ke ruang dapur seterusnya ke ruang tamu dan ke pintu masuk utama.

3. Lap semua perabot dan peralatan yang sering disentuh seperti tombol pintu, suis lampu, kerusi, meja, alat kawalan jauh dan permainan anak-anak. Sekiranya terdapat kotoran pada permukaan perabot atau peralatan tersebut, bersihkan terlebih dahulu dengan air dan sabun sebelum disinfeksi.

4. Langsir, kain pelapik meja, alas kerusi dan alas kaki hendaklah direndam dalam bancuhan cecair pembasmi kuman selama 20 minit. Kemudian cuci kesemuanya seperti biasa lalu jemur sehingga kering.

5. Gunakan botol penyembur dan semburkan bancuhan cecair pembasmi kuman pada permaidani, sofa dan tilam. Kemudian biarkan sehingga kering.

6. Bilik air dan tandas juga perlu didisinfeksi. Lap atau sembur dinding bilik air, manakala lantai pula hendaklah dimop.

7. Selesai sahaja melakukan disinfeksi, masukkan apron dan sarung tangan ke dalam beg plastik. Ikat beg tersebut dan buangkan ke tong sampah.

8. Cuci tangan mengikut kaedah yang betul setiap kali sebelum dan selepas kerja disinfeksi.

9. Biarkan seketika dalam aliran udara yang baik sebelum masuk ke rumah.

Penyediaan Bahan Disinfeksi untuk Pembersihan

1. Bancuh 1 liter air bersama 20 mililiter (20 ml) cecair pembasmi kuman.

2. Elakkan mencampur bahan lain bagi mengelakkan tindak balas yang tidak diingini.

3. Bancuhan bahan disinfeksi ini hendaklah dikendalikan dengan pemakaian sarung tangan getah. Elakkan daripada terkena tangan (kulit) atau kanak-kanak.

Semoga perkongsian ini memudahkan para pembaca untuk melakukan kerja pembersihan serta disinfeksi kediaman masing-masing sebagai usaha memastikan seluruh ahli keluarga sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan selamat.

Situasi kita masih belum bebas sepenuhnya daripada ancaman virus merbahaya. Oleh itu amat penting untuk selalu mengutamakan kebersihan dan keselamatan diri serta keluarga.

RUJUKAN:

  1. https://www.gmi.edu.my/wp-content/uploads/2021/08/img_6630.jpg
  2. http://www.jknselangor.moh.gov.my/index.php/umum/1297-disinfeksi?layout=edit
  3. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2020/10/14/jom-lakukan-disinfeksi-di-rumah/
Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *