Press "Enter" to skip to content

Penyakit Osgood-Schlatter: Kenali ‘Kecederaan’ Pada Anak-anak Anda Yang Aktif Bersukan

Last updated on 11/08/2021

Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Tahukah anda kanak-kanak yang aktif bersukan mempunyai risiko untuk cedera? Artikel kali ini, kami akan bincangkan mengenai penyakit Osgood-Schlatter yang perlu kita ketahui.

Sebagai ibu bapa, tentunya anda memiliki anak yang aktif bermain dan bersukan.

Hal ini merupakan suatu perkara yang biasa kerana bermain merupakan sesuatu keperluan kanak-kanak dalam mendapatkan tumbesaran yang baik.

penyakit Osgood-Schlatter

Kredit gambar: orthoinfo.aaos.org

Dari sudut sains, kanak-kanak memiliki naluri semulajadi untuk bermain kerana ianya dapat merangsang perkembangan fizikal seperti kemahiran motor kasar, motor halus, keseimbangan, merangsang deria dan membantu perkembangan emosi.

Pergerakan kanak-kanak yang terbatas dan tidak aktif boleh mengganggu proses tumbesaran mereka kerana tidak dapat menyalurkan tenaga mereka secara sepatutnya.

Hal ini turut dapat menjejaskan perkembangan emosi dan sosial mereka.

Kesannya, anak-anak akan gagal untuk menghasilkan imaginasi dan kreativiti yang tinggi.

Namun, tahukah anda bahawa terdapat satu kecederaan yang boleh berlaku kepada kanak-kanak yang aktif bermain dan bersukan.

Kecederaan ini dinamakan sebagai Penyakit Osgood-Schlatter atau Osgood-Schlatter Disease (OSD).

Apa itu OSD?

  • OSD adalah suatu kecederaan yang boleh berlaku kepada kanak-kanak dan remaja dalam usia 10 hingga 15 tahun
  • Kanak-kanak yang sedang dalam fasa tumbesaran pesat
  • Kanak-kanak yang aktif melakukan aktiviti sukan yang melibatkan larian dan lompatan yang kerap seperti bermain bola sepak.

Kecederaan ini merupakan suatu keradangan yang terhasil pada bahagian bawah lutut dan pangkal betis yang dikenali sebagai tibial tubercle.

Kecederaan ini dapat dikenalpasti dengan melihat benjolan kecil yang jelas pada bawah lutut dan merasa kesakitan.

Penyakit Osgood-Schlatter sememangnya tidak mengganggu keupayaan fizikal seseorang namun boleh mendatangkan rasa tidak selesa buat anak anda.

Meskipun kecederaan ini sering berlaku terhadap ramai kanak-kanak, namun masih ramai ibu bapa masih tidak mengetahui tentang OSD ini kerana perihal kecederaan ini jarang untuk dibincangkan secara umum.

OSD ini mula ditemukan oleh dua orang pakar orthopedic dari Switzerland iaitu Robert Osgood dan juga Carl Schlatter pada tahun 1903.

Kajian turut mendapati meskipun OSD boleh berlaku kepada kanak-kanak atau remaja tanpa mengira jantina, tetapi kanak-kanak atau remaja lelaki adalah memiliki peratusan yang lebih tinggi untuk menghidapinya.

punca Osgood-Schlatter

Kredit gambar: rchsd.org

Sebelum kita memahami bagaimana OSD ini berlaku, mari kita fahamkan struktur kawasan sekitar sendi lutut anak-anak anda.

Hal ini kerana OSD berlaku kesan daripada tindak balas otot, tendon dan juga tulang pada kawasan tersebut.

Antara struktur yang terdapat di kawasan tersebut ialah otot peha (quadriceps), kepala lutut (patella), pita tumbesaran (growth plate), patella tendon dan juga tibial tubercle.

OSD berlaku apabila terdapat keradangan pada bahagian pita tumbesaran (growth plate).

Keradangan berlaku pada pita tumbesaran kerana pita tumbesaran ini diperbuat daripada tulang rawan.

Umum mengetahui bahawa tulang rawan tidaklah sekuat tulang sebenar, maka tekanan yang berlebihan melalui aktiviti sukan dapat mencederakannya.

Berbeza dengan orang dewasa, OSD tidak berlaku kerana pita tumbesaran mereka sudahpun bertukar menjadi tulang sebenar yang lebih kuat.

Bagaimana pula keradangan pada pita tumbesaran (growth plate) boleh berlaku?

Secara ringkasnya, otot peha (quadriceps) berhubung dengan kepala lutut (patella/kneecap) melalui tendon.

Patella pula berhubung dengan betis juga melalui tendon yang melekat pada pita tumbesaran (terletak di bawah lutut).

Oleh itu, apabila otot peha (quadriceps) digunakan secara kuat dan kerap, berlaku tarikan pada kepala lutut (patella/kneecap) lantas menarik pita tumbesaran (growth plate) secara paksa lalu menimbulkan benjolan dan kesakitan.

Oleh sebab itulah aktiviti lompatan dan larian yang kerap menjadi punca OSD kerana penggunaan otot peha (quadriceps) yang berlebihan.

bagaimana osgood schlatter

Kredit gambar: kidshealth.org

Walau bagaimanapun, kecederaan ini tidaklah merbahaya dan merupakan perkara biasa bagi kanak-kanak yang sedang membesar.

Cuma, apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah mengenalpasti kecederaan pada anak-anak dengan memeriksa kawasan kecederaan sama ada wujud benjolan yang jelas dan kesakitan.

Jika ya, ibu bapa perlu memastikan kecederaan tersebut dapat dikawal agar tidak memberikan rasa tidak selesa terhadap anak-anak.

Kebiasaanya, apabila kesakitan berlaku, doktor akan menasihati anak anda agar berehat dan berhenti sementara daripada sebarang aktiviti lasak sehinggalah kesakitan semakin berkurangan.

Aktiviti regangan turut dapat dipraktikkan bagi menambahkan fleksibiliti otot peha dan mengurangkan keradangan.

Jika kesakitan masih mengganggu anak anda, ubatan seperti ibuprofen atau acetaminophen boleh diambil mengikut nasihat doktor seperti pakar kanak-kanak.

Anda boleh lakukan regangan dan latihan seperti video di bawah untuk membantu mencegah Penyakit Osgood-Schlatter.

 

Akan tetapi, anak-anak anda mungkin tidak gembira dengan keputusan untuk tidak bermain kerana bagi mereka kegembiraan sewaktu bermain itu lebih utama berbanding kecederaan yang berlaku.

Maka, sekiranya mereka masih perlu atau mahu bermain, cara lain seperti memakai pelindung lutut (kneepad), menggunakan kinesiology tape atau balutan pada bahagian kecederaan dapat membantu mengurangkan kesakitan.

Kaedah balutan dan penggunaan kinesiology tape boleh dirujuk kepada pakar fisioterapi yang anda kenali.

Selain itu, ais turut dapat digunakan selepas selesai aktiviti dengan meletakkan pada kawasan kecederaan selama 20-30 minit.

Ibu bapa turut perlu mengingatkan anak-anak agar melakukan regangan dan memanaskan badan secukupnya sebelum memulakan aktiviti.

perlindungan lutut kanak-kanak

Memakai pelindung lutut (kneepad). Kredit gambar: bloemphysio.co.za

Sekali lagi diingatkan, OSD ini bukanlah kecederaan yang merbahaya dan ibu bapa tidak perlu risau akan kesan buruk yang bakal berlaku.

Hal ini kerana, kanak-kanak yang mendapat OSD akan sembuh apabila selesai tempoh tumbesaran iaitu antara 15-17 tahun kerana pada waktu itu pita tumbesaran sudahpun siap  menjadi tulang sebenar berbanding tulang rawan sebelumnya.

Anak-anak anda akan sembuh secara semulajadi dan tidak sehingga sampai tahap di mana perlukan kepada pembedahan.

Meskipun kesan benjolan tersebut akan berkekalan, ianya tidak memiliki sebarang kesan sampingan dan merupakan perkara biasa.

Oleh itu, jangan jadikan kecederaan akibat Penyakit Osgood-Schlatter OSD ini sebagai halangan untuk anak terus aktif dan mengejar impian mereka pada masa hadapan.

Rujukan:

Artikel ini dihantar oleh Ammar Jais. Jika anda berminat untuk menghantar artikel dan mendapat bayaran, sila klik Hantar Artikel untuk maklumat lanjut.

Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *