5 Nasihat Terbaik Isteri Untuk Suami Berhenti Merokok
Merokok membahayakan kesihatan. Semua orang tahu. Dari kecil hingga ke orang tua. Namun masih ada yang amalkan tabiat ini. Kali ini saya nak kongsikan 5 nasihat isteri boleh berikan khas untuk suami berhenti merokok.
Fakta yang tidak baik berkaitan rokok:
- Di Malaysia, kira-kira 10,000 orang mati setiap tahun.
- Sebatang rokok ada kira-kira 4,000 racun berbahaya.
- Hanya 50% perokok akan dapat menjangkau umur 70 tahun
- RM1.5 bilion dibelanjakan rakyat Malaysia untuk beli rokok
Rumahtangga merupakan sebuah institusi yang memerlukan toleransi di antara dua pihak iaitu suami dan isteri.
Masing-masing perlu bersedia untuk menerima kekurangan dan kelebihan pasangan agar matlamat kebahagiaan dan kerukunan hidup bersama dapat dicapai.
Justeru, adalah amat penting bagi untuk mempraktikkan sikap bertolak-ansur serta saling menghormati terutamanya dalam hal-hal melibatkan keselamatan dan kesihatan setiap pasangan.
Menyentuh soal keselamatan dan kesihatan, kebanyakan isteri hari ini terpaksa berdepan dengan risiko apabila ramai suami yang memilih untuk kekal sebagai perokok.
Ada yang menabur janji mahu berhenti apabila sudah berkahwin, namun janji hanya tinggal janji.
Saban hari suami terus dengan tabiat yang memudaratkan, bukan sahaja diri sendiri malah turut memberi kesan buruk kepada isteri.
Menjadi suami yang baik bukan sahaja memberi nafkah zahir dan batin semata-mata, tetapi perlu juga diteladani dengan sikap mulia.
Buat para isteri, di sini kami kongsikan 5 NASIHAT BERGUNA untuk puan cuba berikan untuk suami berhenti merokok
1. Ceritakan Bahaya dan Risiko Perokok Pasif.
Lazimnya para perokok maklum tentang risiko terhadap diri sendiri, namun kurang arif tentang risiko yang terpaksa ditanggung oleh orang di sekeliling mereka.
Isteri dan anak-anak merupakan perokok pasif yang paling berisiko mendapat komplikasi akibat asap rokok suami.
Perokok hanya menyedut 25% asap manakala baki 75% dilepaskan ke udara yang akhirnya disedut oleh perokok pasif di sekeliling.
Ini menjadikan perokok pasif terdedah kepada 50 kali ganda racun merbahaya yang dilepaskan oleh perokok.
2. Ceritakan Risiko Kesihatan yang Terpaksa Dihadapi oleh Perokok Pasif.
Memandangkan golongan ini menyedut lebih banyak asap berbanding perokok, nyata sekali bahawa risiko terhadap kesihatan juga amat tinggi.
Kredit gambar: giphy.com
Para isteri perlu menerangkan dengan penuh hemah tentang risiko kesuburan (suami perlu faham kemungkinan untuk mendapat zuriat menjadi rendah).
Malah sekiranya isteri mengandung, kimia dalam asap rokok mungkin menyebabkan bayi tidak sihat.
Isteri turut terdedah kepada risiko mendapat pelbagai penyakit kanser merbahaya.
Suami yang benar-benar sayangkan isteri dan anak-anak pasti berusaha untuk melakukan sesuatu agar insan tersayang tidak terjejas akibat kepuasan dirinya sendiri.
Jika mahu suami berhenti merokok, tanamkan azam yang kuat untuk terus menasihati suami akan risiko kesihatan yang membimbangkan kepada anak-anak.
3. Terangkan Kesan Terhadap Perbelanjaan Rumah Tangga.
Sebagai suami dan ketua keluarga, tentunya akan lebih maklum tentang kesan ini.
Bagaimanapun, kadangkala mereka mengambil sikap acuh tidak acuh. Lebih-lebih lagi jika isteri mempunyai pendapatan yang boleh menampung kekurangan yang berpunca dari tabiat merokok.
Oleh itu, para isteri perlu bijak menjelaskan kepada suami tentang perbelanjaan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami.
Sesekali boleh saja berkias tentang nilai simpanan yang mungkin sudah terkumpul sekiranya suami tidak gunakan wang tersebut untuk membeli rokok.
Apatah lagi, jika keluarga masih lagi banyak hutang perlu diselesaikan tetapi dibazirkan dengan perkara yang tidak berfaedah.
4. Jelaskan dengan bahasa paling sopan mengenai kesan rokok terhadap kemampuan suami sewaktu mengadakan hubungan kelamin.
Ramai perokok tidak bersetuju kerana masih mampu mendapatkan zuriat. Namun jika diterangkan dengan baik, mereka akan sedar bahawa rokok banyak menjejaskan keupayaan mereka.
Nikotin yang terkandung di dalam rokok menyebabkan salur darah ke zakar mengecil sekaligus boleh mengganggu fungsi seksual.
Perokok lazimnya lebih cepat penat sewaktu mengadakan hubungan kelamin. Malah kemampuan untuk mengawal ereksi juga terjejas.
Hal ini boleh menyumbang kepada masalah rumahtangga kerana kepuasan dalam hubungan suami isteri adalah amat penting untuk mengikat rasa kasih dan cinta.
5. Isteri sebagai pengurus rumahtangga perlu memberi gambaran yang jelas kepada pasangan yang merokok tentang risiko tingkahlaku anak-anak.
Seperti yang kita tahu, kanak-kanak mudah meniru perkara yang mereka lihat. Jika kerap melihat ayah merokok, ibu pula tidak kisah, lama-kelamaan anak-anak akan menganggap ia adalah perbuatan normal dalam kehidupan.
Kredit gambar: giphy.com
Tidak mustahil mereka akan mencuba apabila ada kesempatan.
Bagaimana si ayah mahu menegur anaknya yang merokok di bangku sekolah sekiranya ayah sendiri pun setiap hari dengan bersahaja merokok di dalam rumah?
Program Berhenti Merokok
Ada banyak program untuk bantu suami anda berhenti merokok. Jika nasihat sudah tidak mampu merubah, mungkin ini masanya untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada yang lebih pakar.
Semoga panduan yang kami kongsikan ini dapat membantu para isteri untuk terus berusaha menyelamatkan suami dan rumahtangga dari bahaya rokok.
Hentikanlah, tak ada faedah pun merokok. Suami berhenti merokok lebih ‘macho’ berbanding dengan asap yang busuk.
RUJUKAN:
2 thoughts on “5 Nasihat Terbaik Isteri Untuk Suami Berhenti Merokok”