Press "Enter" to skip to content

5 Tips Diet Seimbang untuk Ibu Mengandung

Artikel Ini Bermanfaat? Jom Kongsikan

Kehamilan merupakan fasa yang dinanti oleh hampir kesemua wanita yang bergelar isteri. Ia adalah pengalaman mahal yang mahu dirasakan oleh setiap wanita.

Malah, orang lelaki juga dapat belajar banyak perkara apabila isteri masing-masing mulai mengandung.

Tidak sahaja soal alahan atau perasaan mengidam, tetapi para suami juga berpeluang untuk belajar apakah aktiviti yang boleh/tidak boleh dilakukan oleh wanita hamil, menu sihat dan macam-macam lagi.

Ia adalah fasa yang penuh dengan pembelajaran, baik kepada isteri yang mengalami proses kehamilan tersebut mahupun suami.

Menyentuh mengenai menu sihat, adalah amat penting bagi ibu mengandung untuk mengamalkan diet yang seimbang agar anak di dalam kandungan mendapat nutrisi yang cukup.

Ia penting supaya tumbesaran anak dapat berlaku dengan baik disamping menjamin kesihatan ibu juga.

Berikut kami kongsikan beberapa tips diet seimbang yang boleh diamalkan oleh ibu mengandung.

1. Susu dan produk  tenusu seperti keju.

Pastikan ibu mengandung minum susu atau ambil makanan tenusu secukupnya bagi memenuhi keperluan kalsium yang penting dalam proses pembentukan tulang dan gigi bayi.

Ia juga penting bagi memelihara kekuatan tulang dan gigi si ibu. Sekiranya ibu mengandung tidak mendapatkan kalsium yang cukup sepanjang tempoh kehamilan (terutamanya pada trimester pertama), ia akan menjejaskan proses pembentukan tulang dan gigi bayi.

Atau menyebabkan ibu mengalami gangguan kesihatan seperti ngilu gigi atau lemah tulang kerana kalsium dalam tubuh diserap untuk digunakan dalam pembentukan tulang bayi.

Selain kalsium, susu juga mengandungi nutrien penting seperti fosforus, magnesium, zat besi dan pelbagai jenis vitamin B. Kesemua nutrien ini penting dalam proses tumbesaran bayi dalam kandungan.

2. Telur

Ia merupakan antara menu yang paling mudah disediakan dan sedap juga. Ibu mengandung patut amalkan pengambilan telur yang cukup kerana ia mempunyai khasiat lemak baik serta protein yang berkualiti.

Selain itu, telur merupakan sumber terbaik nutrien seperti kolin yang amat penting untuk perkembangan otak manusia.

Kekurangan kolin dalam tubuh sepanjang tempoh mengandung boleh menyebabkan bayi berisiko mengalami kecacatan tiub saraf dan fungsi otak.

Oleh itu, ibu mengandung patut pastikan ada menu telur sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu bagi melengkapkan keperluan nutrisi yang diperlukan.

3. Sayur-sayuran

Sayur-sayuran kaya dengan serat, vitamin dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh ibu mengandung dan bayi di dalam kandungan.

Disebabkan itulah sekurang-kurangnya mesti ada satu menu sayuran dalam diet harian si ibu. Di antara sayuran yang sangat bagus untuk diambil sepanjang tempoh kehamilan (terutamanya pada trimester pertama) ialah bayam.

Sayuran hijau ini merupakan sumber asid folik yang baik.

Asid folik adalah salah satu komponen daripada vitamin B9 yang biasa dikenali dengan nama folat. Ia diperlukan oleh tubuh bagi membantu proses pembentukan sel baharu setiap hari.

Di samping itu, bagi ibu mengandung, zat asid folik juga penting bagi membantu melancarkan proses tumbesaran bayi di dalam kandungan.

4. Buah-buahan

Seperti sayur, buah-buahan juga kaya dengan serat dan vitamin yang diperlukan oleh ibu serta bayi di dalam kandungan.

Namun begitu, ibu perlu bijak memilih buah-buahan yang sesuai kerana sesetengah jenis buah boleh menyebabkan masalah kembung perut atau sakit-sakit badan.

 diet ibu mengandung

Di antara buah yang boleh dimasukkan dalam senarai diet ibu mengandung adalah buah delima, kurma, tembikai, buah naga dan mangga.

Anggur juga baik untuk ibu mengandung. Ia bantu mengurangkan kekejangan pada bahagian kaki, perut dan melancarkan penghadaman.

5. Amalan Pemakanan

Selain daripada menjaga jenis makanan yang diambil dalam diet harian, cara mengamalkan diet juga perlu diberi perhatian.

Ibu mengandung perlu sentiasa memantau apa yang dimakan setiap hari. Hidangan mesti dipelbagaikan supaya ibu mendapat nutrien yang cukup.

Ibu juga perlu makan mengikut masa yang teratur dan mengambil hidangan yang sesuai dengan keperluan tubuh.

Dengan menjaga amalan pemakanan yang betul, ibu mengandung akan berasa lebih sihat. Bayi juga dapat membesar dengan baik sehingga tiba waktu dilahirkan.

RUJUKAN:

  1. https://mypositiveparenting.org/ms/2014/01/10/7-tabiat-makan-sihat-semasa-hamil/
  2. https://ibusyurga.blogspot.com/2017/04/makanan-untuk-ibu-mengandung.html?m=1
  3. https://my.theasianparent.com/buah-untuk-ibu-mengandung
  4. https://siraplimau.com/makanan-semasa-hamil-tips-diet/
  5. http://www.myhealth.gov.my/pemakanan-semasa-mengandung/
Artikel Ini Bermanfaat? Jom Kongsikan

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Mission News Theme by Compete Themes.