Press "Enter" to skip to content

5 Tips Cara Ajar Anak Menabung

Last updated on 06/10/2022

Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Ibu bapa yang ajar anak menabung dari kecil adalah mereka yang bijak merancang masa depan. Mereka tahu, tanpa perancangan kewangan yang baik boleh menyebabkan kesusahan pada anak mereka kelak.

Kanak-kanak perlu didedahkan dengan pengetahuan tentang pengurusan kewangan sejak daripada kecil lagi. Mereka perlu dididik supaya kenal nilai matawang serta tahu menghargai setiap sen yang dimiliki.

Dalam hal ini, ibu dan bapa perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mendidik anak-anak supaya bijak menabung.

Sekiranya anak-anak mula tahu minta dibelikan sesuatu (terutamanya apabila melihat iklan makanan ringan atau permainan di televisyen), ia merupakan petanda bahawa mereka sudah bersedia untuk diajar mengenai nilai sebenar wang serta kepentingan menabung.

5 tips yang kami kongsikan ini antara kaedah yang boleh ibu bapa cuba melalui cara ajar anak menabung untuk pembelajaran si anak .

1. Bawa anak ke bank dan buka akaun simpanan mereka sendiri.

Anak-anak tentu berasa teruja apabila mengetahui bahawa mereka sudah mempunyai akaun simpanan sendiri. Kami pernah tulis berkenaan 5 akaun simpanan terbaik untuk anak-anak. Anak boleh baca.

cara ajar anak menabung

Kredit gambar: howwemakemoneyonline.com

Secara tidak langsung, mereka akan mula berazam untuk menambah jumlah simpanan di dalam akaun tersebut.

Ibu bapa perlu mengambil peluang untuk menerangkan bagaimana wang di dalam akaun simpanan akan bertambah sedikit demi sedikit jika anak-anak menjaga disiplin menabung dengan baik.

2. Beri wang saku dan jelaskan mengenai cara mengurus perbelanjaan.

Cara ajar anak menabung yang seterusnya adalah beri wang saku.

Wang saku merupakan pendapatan pertama anak-anak. Mereka perlu diterangkan cara yang berhemah untuk menguruskan pendapatan tersebut.

Ibu bapa perlu beritahu bahawa pendapatan itu boleh disimpan sekiranya anak-anak membawa bekal ke sekolah.

Dengan cara itu anak dapat belajar berjimat serta tidak membelanjakan wang yang diperoleh sehingga habis.

Ini membantu memberi ruang kepada anak untuk mempraktikkan kemahiran membuat keputusan juga, sama ada mahu membelanjakan wang saku yang ada sehingga habis atau simpan sahaja.

3. Didik anak supaya ‘bekerja’ sekiranya mereka mahu lebih wang atau mempunyai keinginan untuk beli sesuatu.

Anak-anak perlu tahu bahawa mendapatkan wang bukan hal yang mudah. Ada usaha dan kerja yang perlu dilakukan demi mendapat walau RM1 sekalipun.

Maka, jika anak mahu lebih banyak wang, mereka perlu melakukan sesuatu kerja seperti berniaga kecil-kecilan di hadapan rumah atau taman rekreasi bersama kawan-kawan.

Ibu dan bapa boleh bantu dengan menyediakan booth kecil untuk kemudahan perniagaan anak serta beri cadangan perniagaan yang ana boleh jalankan.

Misalnya menjual sandwich, muffin atau air balang. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pulangan dalam bentuk kewangan.

kanak-kanak bisnes

Kisah kesungguhan adik Alya Aqeela Muhammad Fadhil berumur 7 tahun berniaga lukisan di depan rumah boleh dijadikan idea kepada ibu-bapa.

Ia juga melatih anak belajar berniaga dan tentunya mereka akan berasa gembira dapat melakukannya dengan kawan-kawan.

4. Didik anak supaya berbelanja secara berhemah dan mengikut kemampuan.

Berbelanja memang seronok. Jika tidak dikawal, boleh menjurus kepada pembaziran. Oleh itu, penting bagi ibu bapa mendidik anak supaya tahu bagaimana untuk berbelanja secara berhemah dan pada kadar yang berpatutan.

Mereka juga perlu diberitahu supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri tanpa mudah terpengaruh dengan cara orang lain.

Anak-anak perlu sentiasa diingatkan supaya berbelanja dengan nilai wang saku yang diberikan sahaja. Tidak boleh meminjam dengan kawan-kawan atau minta dengan orang lain.

5. Berikan ‘reward’ sekiranya anak-anak berjaya menyimpan sejumlah wang yang ditetapkan dalam sesuatu tempoh. 

Anak-anak akan berasa gembira apabila usaha mereka dihargai. Mereka akan tambah bersemangat untuk melakukan sesuatu jika kejayaan mereka diiktiraf oleh ibu bapa.

Oleh itu, memberikan hadiah atau ‘reward’ kecil apabila anak berjaya menabung dengan baik akan membuat mereka semakin seronok untuk terus menabung.

Misalnya ibu bapa menetapkan simpanan RM50 bagi setiap bulan. Anak-anak mengambil inisiatif untuk kurang berbelanja dan mula membawa bekal demi mencapai sasaran yang ibu bapa tetapkan.

Di akhir bulan, setelah terbukti anak-anak berjaya membuat simpanan tersebut, ibu bapa boleh berikan hadiah seperti tambahan RM10 untuk anak membeli apa yang mereka mahu tanpa mengganggu simpanan yang ada.

Semoga tips mudah ini membantu ibu bapa sekalian untuk ajar anak menabung supaya dapat bermula.

Selamat mencuba!

RUJUKAN:

  1. https://iluminasi.com/bm/10-tips-mudah-cara-ajar-anak-menabung-dan-menyimpan-duit-dari-kecil.html
  2. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/01/06/nilai-duit-cara-mudah-ajar-anak-menabung/
  3. https://www.xtra.com.my/parenting/6-cara-penting-untuk-mengajar-anak-anda-untuk-menabung/
Jom kongsi untuk manfaat bersama:

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *