Press "Enter" to skip to content

15 Tips Mudah Cara Ajar Anak Membaca

Artikel Ini Bermanfaat? Jom Kongsikan

Membaca jambatan ilmu khususnya buat si kecil kesayangan anda. Apakah cara ajar anak membaca yang boleh kita lakukan?

Buya Hamka pernah berpesan, “Membaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik”.

Seorang tokoh berjaya seperti beliau mengutamakan ilmu terutamanya membaca buku. Sepanjang hayat beliau telah menulis lebih seratus buah naskah buku.

Bangsa membaca bangsa berjaya. Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) pernah dilancarkan untuk menjadikan Malaysia negara membaca pada tahun 2030.

Semua ini boleh bermula dari rumah. Bermula dari kecil untuk tanam minat membaca kepada anak-anak kita.

Jom baca perkongsian kami.

1. Ajar Kenali Huruf

Tak kenal maka tak cinta. Sebelum mulakan dengan membaca, anak perlu kenal huruf terlebih dahulu.

Mengenal huruf boleh bermula seawal mungkin, seperti ketika anak baru berumur 2 tahun. Ajar mereka kenali bentuk huruf.

Kita boleh bermula dengan huruf rumi A, B, C secara teratur. Jika sudah mahir, tunjuk huruf secara rambang dan biar anak anda meneka.

Permulaan meneka huruf rambang akan sedikit perlahan kerana otak mereka masih memproses bentuk huruf yang pernah dilihat sebelum ini.

Jika mereka berjaya meneka huruf dengan betul, bermakna anak anda sudah kenal huruf.

Mereka faham bentuk huruf dan bukan menghafal semata-mata mengikut susunan.

Ini merupakan latihan asas ajar anak membaca semenjak dari kecil lagi.

2. Ibu Bapa Sebut Anak Ikut

Untuk anak yang pertama kali ingin membaca, sebagai ibu bapa anda yang patut mulakan terlebih dahulu.

Anda sebut huruf dengan jelas dan kuat, kemudian minta anak ikut.

Perlu bersabar dan secara perlahan-lahan kerana cubaan anda untuk mendapat reaksi dari mereka mungkin mengambil masa. Tambahan kepada anak-anak yang masih kecil di bawah 2 tahun.

Perkembangan anak dapat ikut sebutan adalah berbeza. Ada sehari, ada juga sebulan. Sebagai ibu bapa, tidak boleh cepat putus asa.

Jika anak anda baru berumur 2 tahun, tidak perlu terlalu menekan. Hanya santai bersama mereka supaya mereka lebih memberi kerjasama.

3. Matikan Gadget dan Telefon

Gadget dan telefon bagi saya adalah ‘racun minda’. Banyak mudarat daripada kebaikan.

kesan buruk gadget anak

Kajian bertajuk The Impact of using Gadgets on Children oleh Lahore Garrison University menyatakan kesan buruk kepada ketagihan gadget kepada kanak-kanak boleh membawa kepada:

  • Lambat bercakap
  • Kurang fokus
  • Masalah pembelajaran
  • Ketakutan
  • Kemurungan

Walaupun anak anda menonton video berilmiah, jika tanpa kawalan dari ibu bapa boleh membawa kepada ketagihan dan masalah tumpuan.

Walaupun pada awalnya menonton kartun dan video ilmiah, YouTube boleh ‘membawa’ mereka kepada video-video tidak berfaedah dan impaknya boleh mengganggu fokus.

Jika nak ajar anak membaca, tutup gadget dan tumpukan sepenuhnya pada pembelajaran.

Full stop!

4. Guna Kad Bacaan Bergambar

Kanak-kanak lebih tertarik kepada gambar dan warna. Untuk tarik minat mereka, anda boleh gunakan kad bacaan bewarna untuk mengenal huruf.

kad bacaan kanak-kanak

Contoh kad bacaan kanak-kanak. Kredit gambar printablee.com.

Dari pengalaman saya, penggunaan kad bacaan ini sangat membantu untuk tarik minat anak-anak membaca. Mereka rasa lebih bersemangat.

5. Ajar Seawal Mungkin

Jika anak anda sudah menunjukkan minat seawal 2 tahun, teruskan usaha untuk latih dia mengenal huruf.

Lebih cepat anda mulakan, lebih cepat mereka kenal huruf dan cepat membaca.

6. Sebut dan Lakukan

Tunjukan contoh kepada setiap perkara yang anda sebut. Contohnya jika anda sebut baju, tunjukkan bagaimana rupanya baju.

Jika anda sebut harimau, buat bunyi harimau. Dengan cara ini anak anda dapat kenal dengan lebih cepat kerana ada persamaan pada setiap sebutan dan perlakuan yang dibuat.

7. Disiplin Pada Waktu

Waktu bermain bersama anak, gunakan sebaiknya. Begitu juga waktu membaca. Terapkan disiplin kepada ilmu.

Cukup masa mesti baca buku walaupun sedikit. Walaupun hanya satu perenggan.

disiplin baca buku

Ini untuk melatih anak sukakan pada bahan bacaan. Pada masa sama, dapat memupuk cara ajar anak membaca lebih baik dari semasa ke semasa.

Bak kata pepatah, “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”. Usaha kita tanpa penah lelah mendisplinkan anak-anak membaca boleh membawa hasil yang berbaloi.

Ini selepas dapat melihat mereka membaca dengan lancar.

8. Jadikan Membaca Aktiviti yang Seronok

Membaca satu aktiviti yang membosankan jika kita fikir begitu. Namun, untuk anak-anak yang baru belajar membaca, kita perlu ubah fikiran begini.

Cipta satu ruang membaca yang menyeronokkan. Contohnya, sambil membaca sambil bergurau dengan mereka.

9. Ulang Perkara Sama Banyak Kali

Tidak semua anak-anak cepat ‘tangkap’ apa yang diajar. Cubaan kali pertama mungkin kurang berjaya. Jadi anda perlu ulang perkara sama berulang-kali.

Dengan cara ini, otak mereka akan memproses perkara sama berulang-kali dan lama kelamaan akan melekat di minda mereka.

10. Berikan Buku Ringkas dan Bergambar

Jika anak anda sudah pandai mengeja dan kenal suku kata, tambahkan bahan bacaan. Beli buku cerita dengan ayat-ayat pendek. Pastikan buku cerita bergambar supaya mereka tertarik dengan grafik.

Semakin minat mereka kepada buku, semakin baik proses membaca. Daripada buku mudah boleh teruskan dengan buku cerita lebih tebal.

Seterusnya dapat ditingkatkan lagi kepada bahan bacaan lebih berat seperti surat khabar dan novel

11. Beri Pujian Jika Berjaya

Anak kecil berumur setahun ke atas memang pantang dipuji kerana mereka sudah boleh menunjukkan reaksi. Dia akan seronok dan amat teruja.

Anda boleh buat perkara sama. Selepas mereka berjaya mengeja atau membaca sesuatu perkataan, terus puji mereka.

“Pandainya anak mama”.

“Bijak adik baca”.

“Betul tu, macam tulah anak abah”.

Kata-kata pujian begini selain memberi keseronokan, ia juga dapat memberi motivasi. Anak jadi lebih semangat dan seronok nak teruskan bacaan.

12. Jangan Tergesa-gesa Nak Cepat Pandai Membaca

Proses mengenal huruf, mengeja perkataan dan membaca ayat perlukan masa. Agak mustahil dapat dicapai perkara ini dalam masa yang singkat.

Sebagai ibu bapa, terapkan sifat sabar kerana kita perlu yakin, setiap usaha pasti akan berjaya.

Tambahkan dalam setiap perkara doa kerana doa ibu bapa sangat makbul. Berdoa untuk anak anda moga mereka cepat dapat membaca.

13. Ibu Bapa Jadi Tauladan Kepada Anak-Anak.

Seorang suami yang baik menjadi tauladan kepada isteri. Begitu juga ibu bapa yang baik pasti menjadi contoh ikutan anak-anak.

Ibu bapa yang rajin membaca atau bawa anak ke kedai buku akan menjadi ikutan kepada anak-anak.

Mereka akan jadikan anda role model terbaik kerana anda telah membuka ruang ilmu untuk mereka cepat membaca.

Melalui perbuatan anda yang gemar dengan bahan bacaan akan membuatkan anak-anak menjadi teruja untuk turut buat perkara yang sama.

14. Tampal Bahan Bacaan

Letakkan bahan bacaan yang mudah diihat. Contohnya seperti menggantung suku kata, abjad dan sebagainya.

Anda juga boleh menampal bahan bacaan di dinding rumah.

15. Kaitkan Mainan dengan Membaca

Membaca sambil bermain adalah langkah kreatif cara ajar anak membaca.

Sedia maklum terlalu obses dengan bacaan boleh buatkan mereka tertekan. Wujudkan situasi bermain.

Baru anak tak boring!

Kesimpulan

Budaya membaca sangat perlu untuk kemajuan pendidikan anak-anak anda. Dari membaca mereka dapat mengenal tulisan. Dari membaca juga mereka akan mengenal formula, pengiraan dan bahasa.

Ada banyak cara ajar anak membaca yang boleh kita praktikan. Perlu banyak bersabar, konsisten dan terus berusaha sehingga anak berjaya membaca sebuah buku.

Anda juga boleh tambah ilmu dengan bacaan untuk membentuk anak menjadi cerdas dan bijak seperti e-book di bawah.

E-book ini berkongsi tips mendidik anak pandai membaca sebelum masuk tadika. Satu pelaburan ilmu yang sangat baik.

Apa anda lakukan untuk ajar anak cepat membaca? Kongsikan di ruang komen untuk manfaat yang lain.

Artikel Ini Bermanfaat? Jom Kongsikan

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Mission News Theme by Compete Themes.